Definisi
Peribahasa ialah ayat atau susunan kata
yang mempunyai maksud tertentu yang biasanya merujuk kepada maksud berkias, berlapik,
atau tersirat. Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan
makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Menurut
definsi yang dihuraikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Peribahasa boleh
dijelaskan sebagai ayat atau kelompok kata yg mempunyai susunan yg tetap dan
mengandungi pengertian tertentu ataupun digelar juga bidal, pepatah.
Kepentingan
Peribahasa memainkan peranan yang
penting dalam masyarakat di negara kita terutamanya di kalangan orang-orang
Melayu. Peribahasa digunakan untuk menyampaikan sesuatu nasihat, teguran, atau
ingatan secara kiasan atau sindiran. Pada hemat saya, dengan menggunakan
peribahasa banyak teguran, nasihat, dan sindiran dapat disampaikan tanpa
menimbulkan rasa marah atau kecil hati pada orang lain.
Peribahasa wujud apabila masyarakat Melayu menyedari betapa susahnya
untuk memberikan nasihat atau teguran secara terus-terang kepada orang lain
tanpa menyinggung perasaannya. Lantas, mereka mula mengumpamakan sesuatu
perkara dengan sesuatu yang lain agar maksud yang ingin disampaikan dapat ditafsirkan
oleh semua orang. Seringkali perkara yang diumpamakan itu berkaitan secara
langsung dengan anggota masyarakat dan alam sekeliling mereka.
Jenis- Jenis
1. Perumpamaan
Perumpaan tergolong dalam peribahasa
berlapis, iaitu mengandungi makna tersurat dan tersirat.
Terdapat dua bentuk perumpamaan, iaitu:
a) yang menyatakan perbandingan secara
terang-teragnan
b) dan yang tidak menyatakan
perbandingan secara terang-terangan.
Perumpamaan yang menyatakan perbandingan
secara terang-teranan didahului dengan kata-kata perbandingan seperti, umpama,
bagai, laksana, ibarat dan baik; manakala perumpamaan yang tidak disebutkan
perbandingan tidak didahului kata-kata perbandingan tersebut.
Contoh perumpamaan yang disebut
perbandingan
a. seperti katak di bawah tempurung
b. umpama kaca dengan permata
c. Bagai pungguk rindukan bulan
d. Ibarat air di daun keladi
e. laksana katak diharung ular.
Contoh perumpamaan yang tidak disebut
perbandingan
a. Genggam bara api biar sampai jadi
arang
b. Diberi betis hendak peha
c. Sehari selembar benang, lama-lama
menjadi kain.
2. Simpulan bahasa
Simpulan bahasa merupakan ungkapan yang
telah mantap dan mempunyai maksud yang khusus. Simpulan bahasa adalah kata-kata
ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang
membawa maksud tertentu. Maksudnya terdapat daripada apa yang tersirat atau
tersembunyi, bukan daripada yang tersurat atau nyata. Ringkasnya, erti simpulan
bahasa berlainan daripada perkataan yang digunakan. Ia mempunyai maksud yang
berbeza daripada makna harfiah kata-kata dalam ungkapan.
Ciri-ciri Simpulan Bahasa:
Terbentuk daripada penggunaan kata nama
am - anak buah, anak emas, buah tangan, lipas kudung.
Terbentuk daripada penggunaan kata kerja
- ajak-ajak ayam, buat bodoh, pasang telinga,cakar ayam
Terbentuk daripada penggunaan kata
adjektif - besar kepala, bodoh sepat,kecil hati, berat hati
Terbentuk daripada penggunaan kata nama
khas - Abu Jahal,Mat Jenin,Pak Kaduk
Terbentuk daripada nilai kepercayaan -
air pinang, batu buyung, makan bulan
Contoh:
a) Panjang tangan- Suka mencuri
b) Periuk nasi- Punca pencarian
c) Buruk siku- sudah diberi, diambil
balik
d) Ikat perut- Berjimat makan dan minum
e) Kaki bangku- Tidak tahu bermain
misalnya bola.
Namun, Menurut Za'aba, terhasilnya
simpulan bahasa adalah dengan berdasarkan empat perkara iaitu:
1) Daripada perbandingan atau kiasan
dengan cerita yang masyhur.
-Contoh: Abu Jahal, Mat Jenin,
Lebai Malang dan sebagainya.
2) Daripada benda atau kejadian yang
berlaku di sekelilingnya
-Contoh: mandi kerbau, mata
duitan, kutu embun dan sebagainya.
3) Daripada kepercayaan orang ramai
-Contoh: harimau berantai,
buruk siku, dimakan bulan dan sebagainya.
4) Daripada kebiasaan atau resaman
bahasa.
-Contoh: ada hati, gila bahasa,
beri muka dan sebagainya.
3. Pepatah
Pepatah seakan-akan sama dengan bidalan,
tetapi pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau
berpatah-patah. Contoh:
Diam ubi berisi, diam besi berkarat
- orang yang pendiam tetapi berakal itu
lebih baik daripada orang yang pendiam tetapi bodoh.
4. Perbilangan
Pepatah atau perbilangan mempunyai
struktur yang hampir sama dengan pepatah dan bidalan. Namun, perbilangan
disusun berangkap-rangkap seperti ikatan puisi. Setiap rangkai pepatah terdiri
daripada dua baris atau lebih dan disebut satu demi satu seolah-olah orang
sedang membuat perbilangan atau perkataan.
Perbilangan adat merupakan susunan adat
dalam bentuk puisi yang mencerita dan menerangkan sesuatu dan berasal daripada
masyarakat Melayu Minangkabau (adat/peraturan). Perbilangan adat ini berasal
dan berkembang di daerah Minangkaba dan Palembang yang dikenali sebagai 'Adat
Minangkabau'.
Di Malaysia, perbilangan adat ini banyak
diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan, iaitu digunakan dalam Adat
Pepatih. Perbilangan adat ini diperturunkan dari mulut ke mulut, dari satu
generasi ke satu generasi.Perbilangan adat ini mengalami perubahan dan
kesesuaian mengikut keadaan dan zaman, seperti pada kedatangan Islam,
perbilangan adat mengalami penyesuaian dengan ajaran Islam seperti yang
dibuktikan oleh perbilangan ini :
Adat bersendi hukum
Hukum bersendi Kitabullah
Kuat adat, tak gaduhkan hukum
Kuat hukum, tak gaduhkan adat
Ikut hukum, muafakat
Ikut adat muafakat
Ia berkait rapat dengan adat istiadat,
undang-undang atau peraturan masyarakat.
Contoh:
Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat
Hati manusia sama dicecah, hati gajah sama dilapah.
Cubit paha iri, paha kanan sakit juga.
Ditelan mati emak, diluah mati bapak.
5. Kata-kata Hikmat
Kata hikmat merujuk kepada kata-kata
pujangga, ulama atau orang bijak pandai. Kata hikmat dijadikan pedoman hidp dan
percakapan umum. Bentuknya ringkas tetapi mempunyai maksud yang benar dan
dalam.Mengikut Kamus Dewan, kata hikmat atau kata pujangga ialah perkataan
orang bijak pandai yang mempunyai pengertian yang tinggi. Ini bermaksid
ungkapan yang berupa nasihat, panduan dan peringatan serta dijadikan pedoman
hidup. Zaaba juga menyebut tentang kategori yang sama sebagai lidah pendeta
yang didefinisikan sebagai perkataan yang bijak,pendek,sedap, benar dan berisi.
Contohnya "bahasa menunjukkan
bangsa", "bersatu teguh bercerai roboh", "maju bangsa maju
negara" dan sebagainya. Zaaba juga menyebut tentang kategori yang sama
sebagai lidah pendeta yang didefinisikan sebagai perkataan yang
bijak,pendek,sedap, benar dan berisi.
6. Tamsil
Tamsil adalah kiasan asal yang
diperluaskan dengan lebih panjang lebar lagi. Ia mengandungi beberapa isi
pengajaran, nasihat, teladan, serta pemikiran yang bernas.
Contoh :
Tua-tua keladi, semakin tua semakin
menjadi
Keras-keras kerak nasi, kena air lembut
juga
7. Ibarat
Ibarat adalah kiasan yang sering
menggunakan perkataan 'ibarat' untuk membuat perbandingan tentang sesuatu
perkara. Ia bertujuan untuk menjadikan maksudnya bertambah nyata.
Contoh :
Ibarat bunga, segar dipakai, layu
dibuang
Ibarat telur sesangkat, pecah sebiji
pecah semuanya
No comments:
Post a Comment