Wednesday, 29 April 2020

INTONASI


INTONASI
Intonasi ialah nada turun naik dalam sesuatu ayat. Intonasi berbeza-beza mengikut jenis-jenis ayat yang digunakan. Intonasi yang betul boleh membezakan maksud dan objek dalam sesuatu pengucapan.

Intonasi dalam ayat
Intonasi pengucapan dengan jelas dapat dilihat melalui ayat-ayat berikut: 
1     .     Ayat Penyata
2     .     Ayat Tanya
3     .     Ayat Perintah,
4     .     Ayat Seruan

Dalam bahasa penulisan, intonasi digambarkan dengan penggunaan tanda baca Tanya (?) atau seruan (!) atau kedua-duanya sekali.
Aspek intonasi penting dalam pengucapan kerana boleh memberi mesej yang lebih jelas tentang tujuan pengucapan dibuat. Contohnya apabila memarahi orang, mesej yang ingin disampaikan ialah perasaan marah. Oleh itu intonasi tinggi atau keras digunakan.
Apabila ingin memujuk seseorang, intonasi rendah pula yang digunakan. Ini kerana memujuk orang perlu dengan nada lembut (iaitu nada rendah) dan bukan nada tinggi. Memujuk dengan nada tinggi akan menggambarkan unsur paksaan.


1. Ayat Penyata
Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat sesuatu pernyataan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal. Ayat penyata berakhir dengan tanda nokhtah (.). Nada rendah digunakan dalam ayat-ayat penyata. Tiada ada penegasan nada atau nada tinggi dalam penggunaan ayat penyata. Tujuan ayat penyata ialah utuk memberi keterangan.

Contoh:
      .     Kakak saya sedang tidur.
          .     Emak saya pergi ke kedai.
          .     Dia sedang memetik bunga di taman.
          .     Bola itu berwarna biru.
          .     Har ini hari Khamis.

Dalam ayat-ayat di atas, nada yang digunakan adalah nada mendatar.


2. Ayat Tanya

Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk bertanyakan sesuatu atau bertanyakan seseorang. Ayat tanya disertai dengan tanda tanya (?). Tujuan ayat tanya ialah untuk mendapat sesuatu jawapan.

Ayat tanya mempunyai nada tinggi.

Ayat tanya terbahagi dua iaitu ayat tanya terbuka dan ayat tanya tertutup.

(a) Ayat Tanya Terbuka ialah ayat tanya yang memerlukan jawapan yang berupa penerangan. Ayat tanya mempunyai kata tanya (apakah, siapakah) sama ada di pangkal ayat atau di hujung ayat.

Contoh:
       .     Apakah yang dibeli oleh emak?
       .     Kamu ini siapa?
       .     Siapakah lelaki yang memakai topi itu?
       .     Warna manakah pilihan anda?
       .     Apakah yang menyusahkan hatimu?

(b) Ayat Tanya Tertutup ialah ayat tanya yang meminta jawapan yang tegas dan tepat iaitu sama ada ‘ya/benar’ atau ‘tidak/bukan’

Contoh:
         .     Kamu mahu pergi atau tidak?
         .     Sudah siap atau belum?
         .     Setuju?


3. Ayat Perintah

Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menyuruh atau memerintah seseorang supaya melakukan sesuatu. Ayat perintah mempunyai nada tinggi dan tegas bergantung kepada jenis ayat perintah berkenaan.

Terdapat empat jenis ayat perintah iaitu:

        (a)  Ayat Suruhan
        (b)  Ayat Larangan
        (c)   Ayat Silaan  
       (d)  Ayat Permintaan

(a) Ayat Suruhan ialah ayat yang dituturkan dengan motif untuk memberi perintah atau menyuruh orang berbuat sesuatu. Ayat Suruhan mempunyai nada tinggi dan tegas.

Contoh:
       .     Basuh baju ini!
       .     Pergi kau dari sini!
       .     Balik sekarang!

(b) Ayat Larangan ialah ayat perintah yang melarang orang melakukan suatu. Perintah yang diberikan adalah perintah untuk tidak melakukan sesuatu. Ayat ini juga mempunyai nada tinggi dan tegas jika larangan tersebut bersifat paksaan, dan bernada rendah jika larangan tersebut berbentuk rayuan atau keluhan.

Contoh:
        .     Jangan kacau aku! (nada tinggi)
        .     Usah dikenang peristiwa lalu (nada rendah)
        .     Kau jangan datang lagi (nada tinggi)

(c) Ayat Silaan ialah perintah yang tidak mempunyai ketegasan sebaliknya bersifat rayuan dan pelawaan. Nada rendah digunakan untuk ayat jenis ini.

Contoh:
      .     Silalah masuk.
      .     Sudi apalah kiranya datang ke rumahku.
      .     Jemputlah makan.

(d) Ayat permintaan juga tidak bersifat tegas. Oleh kerana orang yang menuturkan ayat ini ingin meminta sesuatu maka nada yang digunakan adalah nada rendah tanpa ketegasan.

Contoh:
         .     Semua harap bertenang!
         .     Tolong kemaskan meja ini.
         .     Harap dapat segerakan tugasan itu.


4. Ayat Seruan

Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan dengan tujuan untuk melahirkan gambaran tentang perasaan seperti takut, marah, geram, sakit, hairan dan yang seumpamanya. Intonasi seruan digambarkan dengan tanda baca seruan (!) pada hujung ayat.

Contoh:
     .     Wah, sungguh cantik rumahmu!
     .     Syabas, kita berjaya!
     .     Amboi, marahnya dia!


No comments:

Post a Comment