INTONASI
Intonasi ialah nada turun naik dalam sesuatu ayat. Intonasi
berbeza-beza mengikut jenis-jenis ayat yang digunakan. Intonasi yang betul
boleh membezakan maksud dan objek dalam sesuatu pengucapan.
Intonasi dalam ayat
Intonasi pengucapan dengan jelas dapat dilihat melalui
ayat-ayat berikut:
1 . Ayat Penyata
2 . Ayat
Tanya
3 . Ayat
Perintah,
4 . Ayat
Seruan
Dalam bahasa penulisan, intonasi digambarkan dengan
penggunaan tanda baca Tanya (?) atau seruan (!) atau kedua-duanya sekali.
Aspek intonasi penting dalam pengucapan kerana boleh memberi
mesej yang lebih jelas tentang tujuan pengucapan dibuat. Contohnya apabila
memarahi orang, mesej yang ingin disampaikan ialah perasaan marah. Oleh itu
intonasi tinggi atau keras digunakan.
Apabila ingin memujuk seseorang, intonasi rendah pula yang
digunakan. Ini kerana memujuk orang perlu dengan nada lembut (iaitu nada
rendah) dan bukan nada tinggi. Memujuk dengan nada tinggi akan menggambarkan
unsur paksaan.
1. Ayat Penyata
Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat
sesuatu pernyataan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal. Ayat penyata
berakhir dengan tanda nokhtah (.). Nada rendah digunakan dalam ayat-ayat
penyata. Tiada ada penegasan nada atau nada tinggi dalam penggunaan ayat
penyata. Tujuan ayat penyata ialah utuk memberi keterangan.
Contoh:
. Kakak
saya sedang tidur.
. Emak saya pergi ke kedai.
. Dia sedang memetik bunga di taman.
. Bola itu berwarna biru.
. Har ini hari Khamis.
Dalam ayat-ayat di atas, nada yang digunakan adalah nada
mendatar.
2. Ayat Tanya
Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk bertanyakan
sesuatu atau bertanyakan seseorang. Ayat tanya disertai dengan tanda tanya (?).
Tujuan ayat tanya ialah untuk mendapat sesuatu jawapan.
Ayat tanya mempunyai nada tinggi.
Ayat tanya terbahagi dua iaitu ayat tanya terbuka dan ayat
tanya tertutup.
(a) Ayat Tanya Terbuka ialah ayat tanya yang memerlukan
jawapan yang berupa penerangan. Ayat tanya mempunyai kata tanya (apakah,
siapakah) sama ada di pangkal ayat atau di hujung ayat.
Contoh:
. Apakah yang dibeli oleh emak?
. Kamu ini siapa?
. Siapakah lelaki yang memakai topi itu?
. Warna manakah pilihan anda?
. Apakah yang menyusahkan hatimu?
(b) Ayat Tanya Tertutup ialah ayat tanya yang meminta
jawapan yang tegas dan tepat iaitu sama ada ‘ya/benar’ atau ‘tidak/bukan’
Contoh:
. Kamu mahu pergi atau tidak?
. Sudah siap atau belum?
. Setuju?
3. Ayat Perintah
Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menyuruh atau
memerintah seseorang supaya melakukan sesuatu. Ayat perintah mempunyai nada
tinggi dan tegas bergantung kepada jenis ayat perintah berkenaan.
Terdapat empat jenis ayat perintah iaitu:
(a) Ayat Suruhan
(b) Ayat Larangan
(c) Ayat
Silaan
(d) Ayat Permintaan
(a) Ayat Suruhan ialah ayat yang dituturkan dengan motif
untuk memberi perintah atau menyuruh orang berbuat sesuatu. Ayat Suruhan
mempunyai nada tinggi dan tegas.
Contoh:
. Basuh baju ini!
. Pergi kau dari sini!
. Balik sekarang!
(b) Ayat Larangan ialah ayat perintah yang melarang orang
melakukan suatu. Perintah yang diberikan adalah perintah
untuk tidak melakukan sesuatu. Ayat ini juga mempunyai nada tinggi
dan tegas jika larangan tersebut bersifat paksaan, dan bernada rendah jika
larangan tersebut berbentuk rayuan atau keluhan.
Contoh:
. Jangan kacau aku! (nada tinggi)
. Usah dikenang peristiwa lalu (nada rendah)
. Kau jangan datang lagi (nada tinggi)
(c) Ayat Silaan ialah perintah yang tidak mempunyai
ketegasan sebaliknya bersifat rayuan dan pelawaan. Nada rendah digunakan untuk
ayat jenis ini.
Contoh:
. Silalah
masuk.
. Sudi
apalah kiranya datang ke rumahku.
. Jemputlah makan.
(d) Ayat permintaan juga tidak bersifat tegas. Oleh kerana
orang yang menuturkan ayat ini ingin meminta sesuatu maka nada yang digunakan
adalah nada rendah tanpa ketegasan.
Contoh:
. Semua harap bertenang!
. Tolong kemaskan meja ini.
. Harap dapat segerakan tugasan itu.
4. Ayat Seruan
Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada
atau intonasi seruan dengan tujuan untuk melahirkan gambaran tentang perasaan
seperti takut, marah, geram, sakit, hairan dan yang seumpamanya. Intonasi
seruan digambarkan dengan tanda baca seruan (!) pada hujung ayat.
Contoh:
. Wah,
sungguh cantik rumahmu!
. Syabas,
kita berjaya!
. Amboi,
marahnya dia!
